Saturday 24 January 2009

Bulan Safar

SAFAR adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.

Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya:

"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.

[Sumber: Pelita Brunei]

Thursday 1 January 2009

Bulan Muharram

MUHARAM adalah bulan pertama dalam kalendar Islam (Hijrah). Bulan Muharram adalah salah satu daripada empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan Allah. Empat bulan tersebut adalah bulan Dzulqa'idah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, (at-Taubah:36)

Bulan Muharram memiliki banyak keutamaan, sehingga bulan ini disebut sebagai bulan Allah (syahrullah).

Sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam samada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah S.W.T melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.


Puasa sunat dalam bulan Muharram
Disunatkan berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram). Banyak hadis yang menyatakan dan menggalakkan hal tersebut, antaranya:

سنن أبي داود #2444 : حدثنا زياد بن أيوب حدثنا هشيم حدثنا أبو بشر عن سعيد بن جبير عن ابن عباس قال لما قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة وجد اليهود يصومون عاشوراء فسئلوا عن ذلك فقالوا هذا اليوم الذي أظهر الله فيه موسى على فرعون ونحن نصومه تعظيما له فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم نحن أولى بموسى منكم وأمر بصيامه .
تحقيق الألباني : صحيح
Maksudnya:
Daripada Ibn Abbas telah berkata: Bila mana Nabi SAW telah tiba di Madinah, didapati kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, maka mereka telah ditanya tentang hal tersebut, maka mereka (Yahudi) menjawab: Hari ini adalah hari yang Allah telah memenangkan Nabi Musa AS ke atas Fir’aun dan kami berpuasa padanya (pada hari tersebut) sebagai membesarkan (mengagungkan) baginya (bagi Nabi Musa AS), maka Rasulullah SAW berkata: “Kami(lah) yang lebih utama (dikaitkan) dengan Nabi Musa (AS)” dan Baginda SAW telah memerintahkan (kepada orang Islam) berpuasa padanya (hari ‘Asyura) – Sahih


سنن أبي داود #2445 حدثنا سليمان بن داود المهري حدثنا ابن وهب أخبرني يحيى بن أيوب أن إسمعيل بن أمية القرشي حدثه أنه سمع أبا غطفان يقول سمعت عبد الله بن عباس يقول حين صام النبي صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمرنا بصيامه قالوا يا رسول الله إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم فإذا كان العام المقبل صمنا يوم التاسع فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم .
تحقيق الألباني : صحيح

Maksudnya:
Ibn Abbas berkata: Tatkala Rasulullah SAW berpuasa hari ‘Asyura, Baginda SAW telah memerintahkan kami dengannya (yakni berpuasa ‘Asyura), mereka (para sahabat) telah berkata: Sesungguhnya hari ‘Asyura adalah yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, maka berkata Rasulullah SAW: “Jika tiba tahun hadapan, maka kita puasa pada hari kesembilan (9 Muharram)”, maka belum lagi tiba tahun hadapan sehingga Rasulullah SAW telah wafat – Sahih


صوم يوم عرفة يكفر سنتين ماضية و مستقبلة، وصوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
رواه الجماعة إلا البخارى و الترمذى ( ص 229 ).قال الألبانى فى "إرواء الغليل" 4/111: صحيح

Maksudnya:
"Puasa pada hari ‘Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun yang lepas dan yang akan datang, dan puasa ‘Asyura menghapuskan (dosa) setahun yang lalu" – Sahih


إن عاشوراء يوم من أيام الله فمن شاء صامه و من شاء تركه
تحقيق الألباني : ‏(‏صحيح‏)‏ انظر حديث رقم‏:‏ 2101 في صحيح الجامع
Maksudnya:
"Sesungguhnya ‘Asyura merupakan satu hari daripada hari-hari Allah, maka barangsiapa yang ingin (berpuasa) maka puasalah dan siapa yang ingin (meninggalkannya) maka tinggalkanlah" – Sahih


( سنن أبي داود #2437 : حدثنا مسدد حدثنا أبو عوانة عن الحر بن الصباح عن هنيدة بن خالد عن امرأته عن بعض أزواج النبي صلى الله عليه وسلم قالت كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم تسع ذي الحجة ويوم عاشوراء وثلاثة أيام من كل شهر أول اثنين من الشهر والخميس
تحقيق الألباني : صحيح
Maksudnya:
Daripada Hunaidah bin Khalid daripada isteri-isterinya daripada beberapa isteri Nabi SAW telah berkata: Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada 9 Zulhijjah dan hari ‘Asyura dan 3 hari pada setiap bulan dan puasa Isnin dan Khamis – Sahih