Wednesday 15 April 2009

Ustzh. Halimatun Mardiana Mohd Sarji selamat melahirkan

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohd Affie Arifin dan Ustazah Halimatun Mardiana Mohd Sarji sekeluarga di atas kehadiran orang baru dalam keluarga mereka. Ustzh. Halimatun Mardiana Mohd Sarji, isteri kepada Ust. Mohd Affie Arifin, telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 12 April 2009 bersamaan 16 Rabiul Akhir 1430H, jam 5.15 petang di rumah mereka. Bayi perempuan kepada salah satu unit Mutazawwijin BKKIMM di Mansurah seberat 2.5 kilogram itu telah diberi nama Syifa Syauqeena Mohd Affie. Semoga dengan hadirnya Syifa Syauqeena keluarga Ust. Mohd Affie bertambah bahagia.

Sunday 5 April 2009

Apakah Kerugian Yang Terpaksa Ditanggung Oleh Alam Ini Dengan Kemerosotan Umat Islam

Kitaran pengalaman banyak mengajar kita dalam usaha menggerakkan dakwah Islamiyah. Satu perkara menarik untuk dikongsikan bersama. Selangkah ke alam perjuangan bererti selamanya dalam kepayahan. Biarlah menangis, terluka, kecewa kerana ditohmah dalam berdakwah, daripada mati terkambus tanpa sekelumit mujahadah. Terkadang kita tidak sanggup selamanya terluka dan kecewa, tapi ingatlah, setiap darah kelukaan dan air mata kekecewaan dalam sesebuah perjuangan, itulah mahar kita ke syurga! Justeru, lahirnya hitam di atas putih ini adalah sekadar satu saranan dan pandangan penuh kedaifan selepas ‘kemalangan’ idealisme, kebangkitan semula selepas satu episod ‘pembunuhan’ ruhiyyah, pemulihan semula selepas ditimpa pelbagai ‘kecacatan’ pendekatan dan kekuatan semula selepas adegan sadis ‘dibelasah’ oleh pakatan yang tampak seakan-akan ‘menggila’ membenamkan usaha amr ma’ruf nahy munkar.

Al-Thawabit (aspek dasar) dan Al-Mutaghayyirat (aspek teknikal) semestinya menjadi satu titik asas dalam gerakan dakwah dengan meletakkan awlawiyyat yang jelas dan mafahim yang jitu dalam setiap strategi dan perancangan dakwah. Usah kerana kejahilan dan kekeliruan dalam memahami fiqhu al-harakah ini menyebabkan perkara prinsip dikompromikan dan perkara teknikal diperselisihkan. Semestinya perkara Al-Thawabit inilah yang menjadi titik persefahaman walaupun menyalahi fikrah dan pegangan kita sendiri di samping kita cerdik untuk meletakkan adab dan perincian dalam perbincangan perkara-perkara Al-Mutaghayyirat. Penyusunan keutamaan dalam fiqhu al-taghyir (perubahan), merupakan transisi gerakan Islam masa kini dengan menghijrahkan keutamaan perkara furu’ kepada perkara usul, sunat kepada fardhu, kekhilafan kepada kesepakatan, kesusahan yang menyempitkan kepada kesenangan yang melapangkan dan daripada langit mimpi kepada bumi nyata. Kondusif kebangkitan pembaharuan (al-tajdid wa al-islah) juga sering kali mengalami jatuh bangunnya. Justeru, gagasan 10 pendekatan dalam berdakwah perlu direalitikan sebagai satu investasi ke arah keberjayaan gerakan dakwah iaitu :

1. القدوة قبل الدعوة (berikan teladan sebelum berdakwah)
2. التأليف قبل التعريف (ikatan hati sebelum suntikan fikrah)
3. التعريف قبل التكليف (pengenalan asas sebelum memberi bebanan)
4. التدرج في التكليف (beransur-ansur dalam memberikan taklif)
5. التيسير لا التعسير (memudahkan bukan menyulitkan)
6. الأصول قبل الفروع (perkara pokok sebelum perkara cabang)
7. الترغيب قبل الترهيب (berita gembira sebelum berita ancaman)
8. التفهيم قبل التلقين (memahamkan bukan menghafal)
9. التربية لا التعرية (mendidik bukan menghukum)
10. تلميذ إمام لا تلميذ كتاب (berguru)

Tidak memadai berpada dengan mempelajari subjek “Method of Dakwah” untuk menyempurnakan pertanggungjawaban dakwah langsung sebagai individu muslim, tetapi sayugia disarankan saranan Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang dijelaskan oleh Syeikh Mustafa Malaikah di dalam kitabnya yang bertajuk, Kewajipan Menguasai 6 Fiqh Bagi Pendakwah Islam Di Alaf Baru, agar mana-mana pendakwah masa kini tidak dapat tidak mesti menguasai 6 fiqh tersebut iaitu, Fiqhu Al-Nusus, Fiqhu Al-Waqi’, Fiqhu Al-Ikhtilaf, Fiqhu Al-Muwazanat, Fiqhu Al-Awlawiyyat dan Fiqhu Al-Taghyir tanpa meninggalkan Al-Sirah Al-Nabawiyyah sebagai satu asimilasi yang berakartunjangkan manhaj haraki rabbani dan modus operandi gerakan dakwah Rasulullah SAW. Teori dan aplikasi 6 fiqh ini serta manhaj makkiyah Nabi SAW merupakan elemen yang praktikal di hamparan keberjayaan gerakan dakwah insya Allah, dan bukannya satu eksperimentasi . Di samping pembinaan sektor internal dan spiritual individu melalui manhaj Al-Muzammil yang merupakan manhaj terbaik yang bisa melahirkan individu berprinsip “Tahanlah tanganmu (dari berperang) dan dirikanlah solat ”(Al-Nisa’ : 77) yang bakal bertindak dengan penuh bijaksana ke atas polisi dan serangan musuh dalam berdakwah.

Sememangnya tarbiyah dan perlaksanaan tidak dapat dipisahkan. Secara komprehensifnya, dalam menjalankan gerak kerja tarbiyah, perlu kepada penjiwaan perlaksanaan dan dalam kita meneruskan perjalanan perlaksanaan perlu terus ditekankan aspek tarbiyah pada diri dan organisasi kerana itulah ‘asas perniagaan’ dalam gerakan dakwah. Bukan hanya berhasrat melahirkan individu yang hanya tahu memegang mikrofon dan menonjolkan diri di rostrum atau pentas-pentas rasmi semata-mata, mengeluarkan dentuman kenyataan perancangan di khalayak ramai atau mengadakan pelbagai program umumi semata-mata tanpa ada ruh tarbawi sedikitpun di dalamnya. Atau dengan eksplisitnya, sindrom hanya menjayakan program, bukan hadaf program. Jangan sesekali menjadikan gerakan dakwah hanya ‘menang sorak’ dengan terlaksananya sesuatu program tanpa pemasakkan pengisian pembinaan gerakan dakwah tersebut.

Dakwah Islamiyah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW, Ridhwanullahi ‘alaihim, iaitu satu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama daripada penghidupan dakwah ini.

Secara realitinya sekarang, sebahagian besar pelajar Malaysia yang melata di bumi Anbiya’ ini telah menjalankan dakwah secara langsung melalui platform yang mereka miliki tidak kira dalam bepersatuan mahu pun di luar persatuan. Pun begitu, sejauh manakah usaha dakwah yang dijalankan ini mencapai hadaf dan maksudnya, khususnya dalam tempoh melatih serta menyiap siagakan diri di keberlangsungan bidang dakwah sebelum berhadapan dengan medan dakwah yang lebih mencabar di segenap dimensi Malaysia kelak. Sejauh manakah usaha mendinamisasikan gerakan dakwah berjaya dilaksanakan di kalangan mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar di Mesir?

Justeru, apakah cara kita bagi tidak mengekalkan kerugian alam ini dengan kemerosotan dan kemunduran umat Islam khususnya di kalangan mahasiswa-mahasisiwi Al-Azhar sendiri? Apakah kita ingin mentradisikan keruntuhan sesuatu umat (seperti kaum ‘Aad, Samud dan lain-lain) berpunca daripada kejahilan dan hawa nafsu anak bangsa mereka terus diwarisi oleh generasi kini? Di fatrah kehidupan yang penuh tribulasi ini, patutkah kita hanya menjalankan dakwah sekadar melepaskan batuk ditangga? Sudah cukupkah dengan menggerakkan usaha dakwah sekadar menjalankan portfolio dalam Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang terpundak di bahu kita? Ataukah kita berdakwah dengan rasa pertanggungjawaban tanpa portfolio dalam BKAN sebagai seorang muslim yang tidak redha melihat kemerosotan dan kemunduran umat Islam khususnya golongan Azhari? Sanggupkah kita mengambil mafsadah yang tersangat kecil dan menolak maslahah yang lebih besar tanpa penilaian keutamaan aspek Al-Thawabit dan Al-Mutaghayyirat? Layakkah kita mempolemikkan masalah teknikal perasaan dengan menghancur dan mengkebumikan ‘komitmen eksperimen tarbawi’ di kalangan kita? Di manakah kita letakkan nikmat akal fikiran dalam membincangkan sesuatu perkara yang telah didasari dengan Al-Quran dan Al-Sunnah?

Maka, marilah sama-sama kita fikirkan apakah transimisi yang paling efektif dan komprihensif untuk kita pacukan ke arah menganjak paradigma pemikiran dan gerakan dakwah di kalangan mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar di Bumi Anbiya’ ini. Usah kita tertawan dengan tandusnya ruang dan kondisi pihak tertentu untuk mentarbiyah diri serapi mungkin sebaliknya perlulah diberikan perhatian seoptimum mungkin dengan kebijaksanaan memanfaatkan apa jua ruang dan peluang yang masih ada. ‘Sahabat-sahabat dan teman-teman’, jangan sesekali kita akhiri gerakan dakwah yang ‘telah berjaya kita mulai’. Ingatlah: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia juga mati atau terbunuh patutkah kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali-‘Imran : 144)

Wa Allahu Taala ‘Alam...


Al-Faqir ila Allah: Harman Bin Hassan







Izin terbit:
Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM
Sesi 2008/2009

Jaulah AJKT BKKIMM 2008/2009

KAHERAH, 5 April- Baru-baru ini barisan kepimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM); Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM, telah mengadakan jaulah ke Muhafazah. Jaulah tersebut telah diadakan pada 27 hingga 30 Mac 2009 (Jumaat hingga Isnin). Antara Muhafazah yang telah dikunjungi sepanjang jaulah tersebut adalah Iskandariah, Damanhur, Tanta, Mansurah dan Shoubra. Tujuan utama program tersebut adalah untuk mengeratkan lagi ukhwah serta menyambung silaturahim antara barisan kepimpinan BKKIMM dengan ahli BKKIMM di samping mewujudkan hubungan dua hala antara BKKIMM dengan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) di Muhafazah sekitar Mesir. Dengan program ini dapatlah anak-anak Melaka yang berada di Muhafazah masing-masing melontar cadangan dan pendapat yang membina kepada barisan AJKT BKKIMM selain mengajukan permasalahan mereka di Muhafazah agar barisan kepimpinan BKKIMM mengambil cakna dalam membantu dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Menurut laporan, pada 27 Mac 2009 seluruh barisan AJKT BKKIMM baik ikhwah mahupun akhawat bergerak menuju Iskandariah secara berasingan. AJKT BKKIMM ikhwah bermalam di Bait Muhajirin manakala barisan kepimpinan dari pihak Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKKIMM pula bermalam di rumah ahli BKKIMM akhawat. Keesokan pagi (28 Mac 2009), semua AJKT BKKIMM menziarahi unit Mutazawwijin (ahli yang telah berumahtangga) iaitu keluarga Ustaz Azim serta isteri dan Ustaz Firdaus Akob serta isteri. Pada sebelah tengahari pula telah diaturkan satu Majlis Ramah Mesra AJKT BKKIMM bersama ahli BKKIMM yang berada di sekitar Iskandariah. Kemudian, AJKT BKKIMM ikhwah meneruskan perjalanan ke Muhafazah seterusnya iaitu Damanhur. Sebaik tiba di Damanhur, Majlis Ramah Mesra terus dijalankan. Setelah itu, perjalanan diteruskan lagi ke Tanta dan AJKT BKKIMM ikhwah telah bermalam di rumah ahli di sekitar Tanta.

29 Mac 2009, Majlis Ramah Mesra di Tanta telah berlangsung pada sebelah tengahari. Selesai majlis tersebut AJKT BKKIMM ikhwah mengambil kesempatan menziarahi maqam auliya’ yang berada di Tanta sebelum meneruskan lagi perjalanan ke Mansurah. AJKT HEWI BKKIMM yang berada di Iskandariah pula mula bergerak ke Mansurah. Pada sebelah malam hari yang sama, seluruh AJKT BKKIMM (ikhwah dan akhawat) menziarahi ahli BKKIMM yang mengambil jurusan perubatan.

30 Mac 2009, seluruh AJKT BKKIMM menziarahi unit Mutazawwijin di Mansurah iaitu keluarga Ustaz Fikri serta isteri dan Ustaz Affie serta isteri pada sebelah pagi. Kemudian, seluruh AJKT BKKIMM telah bertemu ahli BKKIMM dalam Majlis Ramah Mesra pada sebelah tengahari hari yang sama. Setelah itu, AJKT BKKIMM ikhwah menuju ke destinasi terahkir iaitu Shoubra. Majlis Ramah Mesra di Shoubra bermula lewat sedikit daripada perancangan kerana kelewatan AJKT BKKIMM tiba di Shoubra. Selesai majlis di Shoubra, AJKT pulang ke Wisma Melaka.

Menurut Setiausaha Agung BKKIMM, Ust Mohd Shahdan bin Bakar, program berjalan lancar dan baik. “Dalam setiap Majlis Ramah Mesra di Muhafazah, beberapa orang AJKT telah ditaklifkan untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Terima kasih kepada semua ahli BKKIMM yang belajar di Muhafazah kerana sudi menerima kunjungan kami (AJKT BKKIMM), tidak dilupakan juga kepada ahli Zagazig yang sanggup turun ke Mansurah untuk turut serta dalam Majlis Ramah Mesra di sana (Mansurah),” tambah beliau lagi.