Monday 23 November 2009

[artikel] Menanggapi Isu Pengajian-Persatuan

oleh : Zakiatun Nazneen Binti Abd Hannan

“Pengajian adalah yang pertama, persatuan bukanlah yang kedua”
“Kebanyakan kita gagal kerana terlalu aktif berpersatuan”

Begitu dua frasa yang cukup kontra yang selalu kita dengari di Bumi Kinanah ini. Sering, kita terdengar, para siswa/wi kita bagaikan di dalam dilema, memilih antara pengajian dan persatuan. Benarkah kita harus memilih salah satu sahaja daripada dua pilihan ini? Tidak bolehkah kita memilih kedua-duanya sekali, dalam satu masa?

Sekular pengajian-persatuan
Persoalannya di sini, tidak bolehkah pengajian dan persatuan itu berjalan seiring? Umpama aur dengan tebing? Bagai isi dengan kuku? Kenapa harus menjadi bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa? Seandainya memisahkan agama daripada pemerintahan digelar sekularisme, mungkinkah juga memisahkan pengajian dengan persatuan digelar sekularisme juga? Adakah realiti pemisahan ini merupakan salah satu kesan hasil daripada penyemaian nilai-nilai sekularisme yang telah bertapak sejak sekian lama dulu yang dibawa oleh penjajah Barat?

Hakikat
Lupakah kita kepada hadis tentang andainya ada seekor kambing dan sekawan kambing, maka kambing yang seekor itulah yang lebih mudah untuk dibaham oleh serigala. Dan usah kita lupa pada hadis akan keutamaan orang berilmu dengan orang lain umpama keutamaan bulan berbanding bintang-bintang di langit malam.

Ketika mana para sahabat membina kekuatan thaqafah melalui pembelajaran mereka bergurukan Baginda Junjungan Besar s.a.w, mereka tidak pula lupa bersama-sama membina kekuatan ukhuwah dan kenegaraan agar tidak rapuh dibadai musuh-musuh Islam

Ketika mana para ulama’ kita sibuk menggali ilmu di sana sini demi mewarisi para anbiya’, mereka tidak pula lupa menunaikan tanggungjawab mereka kepada ummah melalui kelas-kelas pengajian mereka dan penulisan ilmiah serta ada juga yang menjadi pemimpin atau penasihat kepada tampuk pemerintahan.

Bukti-bukti dari lipatan sejarah ini membuktikan bahawa, progresif penuntut ilmu tidak akan terbantut dengan penglibatannya dalam kesatuan, dengan syarat, para penuntut ilmu ini bijak menguruskan masa serta tidak mensia-siakan tiap detik yang ada padanya.

Ulama’ itu adalah orang berilmu yang beramal dengan ilmunya. Mana mungkin kita mampu melakukan ibadah dengan betul andai Iman Syafie tidak menyalin ilmunya dalam berbilang naskhah sebagai menunaikan tanggungjawabnya kepada ummah seluruhnya.

Kita harus menginsafi, bahawa kita bukanlah abid agung yang tidak betah beribadat di tikar sejadah demi redha ALLAH. Kita hanyalah manusia biasa, yang tidak mampu menghabiskan tiap detik dengan solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain. Cuma kita boleh saja mengambil kesempatan beroleh pahala dari kerja-kerja kebajikan yang kita lakukan untuk memberi manfaat kepada insan lain.

Penutup
Tulisan ringkas ini bukanlah mahu memaksa semua siwa/wi di Perlembahan Nil ini agar bergiat begitu aktif dalam persatuan, meninggalkan pengajian atau hanya terperuk dan tenggelam dalam dunia kitab dan nota tanpa menjenguk luar. Tulisan ini hanya mahu supaya para pembaca dapat mengubah persepsi, bahawa pengajian dan persatuan bukanlah sesuatu yang harus dipilih,satu lagi harus dibuang, tetapi dua perkara ini boleh bergerak seiring, sejalan dan bersama, jadi, pilihlah kedua-duanya sekali!

Wednesday 18 November 2009

Kalam Timbalan Ketua HEWI 2009/2010

Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kehadrat Allah S.W.T diatas nikmat Islam dan iman yang dikurniakan kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pembawa risalah kebenaran, ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh penggerak mata rantai perjuangan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
“Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkan bila dilihat, taat bila disuruh dan tidak mengkhianati sesuatu yang dibenci suaminya” (HR Imam Ahmad, Nasai, Hakim)

Wahai muslimat yang dirahmati Allah,
Tiada seorang wanita pun yang ingin dimasukkan ke dalam api neraka, diseksa dengan penuh kehinaan lantaran dosa yang dilakukan. Namun, ramai wanita yang tidak menyedari di dalam kehidupan harian mereka seringkali melakukan maksiat serta mengundang kemurkaan Allah. Hal yang demikianlah yang menyebabkan ramai wanita menjadi penghuni neraka di akhirat kelak sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Nauzubillah.

Hanya wanita yang memahami hakikat kewanitaannya sahaja akan menghargai dirinya dan sentiasa mencari peluang untuk mencari keredhaan Allah.

Apa yang saya harapkan, agar muslimat yang berada di bumi anbiya’ ini, khususnya muslimat BKKIMM, agar menjaga keperibadian kalian sebagai wanita Islam. Sentiasa semaikan di dalam diri kalian dengan sifat-sifat dan akhlak yang terpuji, dan janganlah biarkan diri kalian hanyut dengan keindahan perlembahan sungai nil.

Sesungguhnya sahabat, Sayyidatina Aishah sangat gigih membela kaum wanita dan berkeinginan untuk mengangkat martabat mereka. Sayyidatina Aishah tidak suka terhadap wanita yang melanggar hukum syariat. Ketika mana Sayyidatina Aishah melihat perubahan model pakaian sebahagian wanita setelah kewafatan Rasulullah, Sayyidatina Aishah tidak menyukai semua itu sambil berkata:

“Seandainya Rasulullah melihat perkara yang diada-adakan oleh wanita sekarang ini, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, sebagaimana wanita bani Israel dahulu."

Jadi, muslimat yang dirahmati Allah, jalan manakah yang hendak kalian ikuti? Samada jalan yang diredhai Allah atau jalan syaitan laknatullah?

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Ternyata umat Islam masa kini mengalami keruntuhan akhlak dan nilai murni selaku seorang muslim yang sememangnya memerlukan tenaga-tenaga penyelamat untuk menangani masalah ini. Persekitaran dan situasi yang penuh dengan tipu helah dan taktik jahat musuh-musuh Islam, benar-benar memerlukan golongan agamawan yang berwibawa untuk melawan arus keruntuhan akhlak masa kini. Manakala, bagi mereka yang sentiasa selesa dalam keadaan gawat ini, kemungkinan akan sama-sama hanyut dan lenyap sebelum matlamat suci yang ingin diperjuangkan tercapai.

Justeru sahabat-sahabat, antara persiapan terpenting kepada kita dalam merealisasikan tugas yang sangat besar ini adalah dari sudut keilmuan, thaqafah, dan organisasi yang sangat mantap. Rebutlah ruang dan peluang yang terbentang luas di bumi anbiya’ ini untuk sahabat-sahabat mempersiapkan diri sebelum sahabat melangkah ke medan perjuangan yang sebenar di tanahair.

Maka, jelaslah disini bahawa Islam bukan hanya menggalakkan kepada umatnya semata-mata menuntut ilmu, bahkan umat Islam mestilah menunaikan hak ilmu itu dengan amalan dan menyampaikan kepada orang lain. Islam juga menuntut kepada umatnya supaya sentiasa bergerak di dalam satu kesatuan dan organisasi yang kukuh. Sepertimana firman Allah di dalam surah As-soff ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang kukuh”

Sahabat-sahabat yang diberkati sekalian,
Bersatu-padulah kita di bawah kepimpinan yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berikanlah wala’ dan taat kita selaku orang yang memenuhi adab-adab orang yang dipimpin selagi tidak melanggar syarak dan perintah Allah.

Akhirnya, sama-samalah kita berusaha, berdoa dan bersungguh-sungguh demi melihat kesatuan kita terus utuh dan teguh.

“Sesungguhnya sahabat, kita seharusnya melakukan sesuatu yang positif walaupun di sana akan wujud beberapa kesalahan, pun begitu ianya adalah lebih baik berbanding golongan yang hanya tahu mengkritik orang bekerja sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak menyumbangkan apa-apa”

“Manusia harus berjuang, dan syurga itulah kejayaannya”

Wallahu Ta'ala a’lam.

Nurul Hidayah binti Abas,
Timbalan Ketua HEWI BKKIMM,
sesi 2009/2010

Saturday 14 November 2009

[iklan] Tempahan Korban Telah Dibuka


(klik gambar untuk paparan lebih jelas)



Kepada ahli BKKIMM yang ingin menjalankan ibadah korban tahun ini,
TEMPAHAN KORBAN telah pun dibuka!
(sehingga 23 November 2009/ 6 Zulhijjah 1430H)


Berikut merupakan anggaran harga bagi:
Seekor lembu = LE 7500.00

Seekor unta = LE 5000.00

Seekor kambing = LE 800.00

Seekor khoruf = LE 800.00


BKKIMM akan mengadakan Majlis Ibadah Korban di Wisma Melaka, Kaherah pada 27 November 2009. Seluruh ahli BKKIMM dijemput hadir ke majlis tersebut.

Ahli-ahli yang ingin memberi sumbangan bagi menjayakan majlis tersebut adalah dialu-alukan.


Segala urusan hubungi:
Ikhwah: Ust. Zaharul Iquwan b. Ma'in (016-6816543)

Akhawat: Ustzh. Khairunnisa' bte. Yusof (010-0892568)

BKKIMM Ziarah Pelajar Perubatan di Mansurah

oleh: Nurul Hidayah binti Mohd Anas

Mansurah, 14 Nov – Pelajar-pelajar Melaka jurusan perubatan di Mansurah merasa bertuah apabila dikunjungi Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir dalam Majlis Ramah Mesra Bersama BKAN anjuran Persatuan Perubatan Mansurah pada 6 November 2009. Rombongan yang terdiri daripada En. Roslan bin Hj. Abu Samah (Pengurus Pelajar Melaka di Mesir) dan isteri, Ustaz Shahdan bin Bakar (Yang di-Pertua BKKIMM), Ustazah Nurul Hidayah binti Abas (Timbalan Ketua HEWI), dan lima orang AJKT serta AJK HEWI selamat sampai ke destinasi sebelum majlis yang dikhususkan untuk BKAN Melaka itu berlangsung pada jam dua petang. Program tersebut adalah bertujuan mempertemukan pelajar-pelajar perubatan baru dengan Badan Kebajikan Anak Negeri masing-masing.

Seramai kurang lebih 50 pelajar perubatan baru dan juga yang lama telah menghadirkan diri dalam pertemuan tersebut. Selepas mendengar kata-kata aluan daripada Pengarah Program majlis diteruskan dengan ucapan daripada En. Roslan bin Hj. Abu Samah. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh tentang Pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPENM) sekaligus menjelaskan tugas beliau di sini. Ust. Shahdan bin Bakar pula menjelaskan kepada hadirin tentang BKKIMM termasuk cara menjadi ahli. Borang keahlian BKKIMM telah pun diedarkan dalam sesi tersebut. Sesi soal jawab mengenai permasalahan telah mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pelajar yang hadir.

Monday 2 November 2009