Thursday 29 December 2011

Setahun, Menyinggahi BKKIMM Tanpa Obsesi


Setahun, Menyinggahi BKKIMM Tanpa Obsesi

Segala pujian hanya milik Allah SWT yang  telah membangkitkan semangat dalam jiwa manusia untuk menempuh cara mengabdikan diri kepada-Nya. Segala-gala-Nya yang ditempuhi manusia pada hari ini adalah kerana kehendak-Nya dan tidak ada seorang pun daripada kalangan manusia itu dapat menolak dan menghalang taqdir-Nya itu. Dengan rahmat-Nya dan kehendak-Nya yang mengatur setiap saat percaturan hidup manusia sehingga mereka kini berada di tempat di mana meraka berada.

 Tanggal 28.12.2010 sememangnya merupakan detik yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh mahasiswa/wi  Melaka di Perlembahan Nil ini. Sejarah pencabulan hak yang berlaku meningggalkan kesan yang  sungguh mendalam dalam hati sanubari mereka. Tanpa sebarang alasan serta bukti yang kukuh, kesatuan yang telah sekian lama menaungi kebajikan serta pendidikan anak-anak Melaka di Mesir difitnah dan ditarik pengiktirafannya serta-merta tanpa diadakan walau sedikit ruang perbincangan.

(Gambar AJKT BKKIMM sesi 2010/2011 bersama Ketua Menteri Melaka dan Datuk Duta Besar Kaherah serta isteri)

Masih segar lagi  reaksi seluruh mahasiswa/wi Melaka dalam menzahirkan gelombang kebangkitan yang setaraf dengan jati diri seorang  mahasiswa  pada detik bersejarah berikut, apabila seluruh yang hadir bangun dengan secara hormat di hadapan Ketua Menteri Melaka bagi menyatakan pendirian bahawa kesatuan yang berusia 35 tahun ini mesti dipertahankan.
Dan sehingga ke saat ini, BKKIMM telah berjaya membuktikan kegemilangannya kerana berjaya mengharungi jerih-payah mengemudi bahtera kesatuan yang tercinta tanpa pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri. Walaupun ditekan oleh banyak pihak dan diuji dengan pelbagai mehnah yang boleh menggugat perjalanan persatuan,  namun berkat kesungguhan setiap anggota yang menjadi tiang dan tulang belakang kepada BKKIMM serta kecekalan yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan merupakan suatu usaha yang sama sekali tidak akan pernah dilupakan.



(Gambar mahasiswa/wi Melaka Mesir ketika  Ihtifal Kesatuan, Haflah Aidilfitri, & Sambutan  Memperingati 35 Tahun BKKIMM – IKTIRAF ’35)

Kebersamaan yang telah diberikan oleh satu-satunya persatuan induk anak Melayu di sini iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) serta sokongan yang padu daripada setiap PMRAM Cawangan samada Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa ( DPM ) membuktikan PMRAM terlalu menitikberatkan soal kebajikan mahasiswa/wi Malaysia di Bumi Anbiya’ ini.  Melalui konsep taakhi yang telah dibentuk oleh PMRAM, BKKIMM turut diperjuangkan oleh BKAN Selangor ( BKASM ; Badan Kebajikan Anak Selangor ), BKAN Pahang ( BKMIP ; Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang ), DPM Tanta serta DPM Syibin El-Kom. Kemuncak kesatuan semua BKAN dan DPM dalam membantu BKKIMM terserlah apabila satu kata muafakat telah diambil dalam persidangan  Muktamar  Sanawi  PMRAM kali ke-78  dengan usul, semua BKAN dan DPM  akan bersama-sama mempertahankan BKKIMM melalui sumbangan material dan menjana ekonomi bersama. 



(Gambar kenangan barisan Badan Pengurus PMRAM 2011 bersama kepimpinan BKKIMM sesi 2010/2011 ketika Iftor Jama’ie di Surau Wisma Seri Melaka)

Namun, disebalik usaha untuk terus menggerakkan kesatuan ini, BKKIMM masih berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan semula tindakan penarikan pengiktirafan terhadap persatuan ini demi kelangsungan menjayakan agenda terpenting Kerajaan Negeri sendiri dari sudut kebajikan dan pendidikan terhadap anak-anak Melaka di Bumi Anbiya’ ini. Beberapa siri perbincangan yang telah diadakan melalui wakil-wakil Kerajaan Negeri dengan pihak kepimpinan BKKIMM diharap dapat membuahkan hasil serta mencipta keharmonian dikalangan mahasiswa/wi Melaka di sini. Pihak BKKIMM juga masih tetap optimis untuk meneruskan hubungan kerjasama dengan pihak Pejabat Pentadbiran Pegawai Wisma Seri Melaka Kaherah.



(Gambar jemputan kehormat pada Majlis Perasmian Program Malam Ikhtiar Mumtaz sempena peperiksaan akhir tahun 2011 anjuran bersama BKASM, BKKIMM dan BKMIP)

Oleh yang demikian,  pihak kepimpinan menyeru kepada semua ahli agar terus bersama mempertahan dan menjayakan 6 Gagasan BKKIMM pada sesi ini kerana tidak dapat tidak BKKIMM masih memerlukan sokongan serta dokongan penuh setiap anggotanya demi memastikan persatuan ini dapat terus menjaga kemaslahatan serta kelangsungan kebajikan dan pendidikan anak-anak Melaka di Mesir. Sejajar dengan tema pembawaan BKKIMM pada sesi ini iaitu BKKIMM Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa, “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan (dalam) urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” ( Surah Ali Imran : 147 )
“Hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan dan ampunan. Kami berlindung kepada-Mu dari segala keburukan diri kami dan kejelekan amalan kami. Hanya kepada-Mu kami meminta petunjuk agar kami tidak sesat. Kami mengakui sekiranya kami sesat maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepada kami melainkan hanya-Mu Ya Allah.

Ya Allah, Engkau-lah Zat penganugerah pahala yang berlimpah, pemberi tempat yang indah dan nyaman, Zat yang membuat perhitungan dengan segera, Zat yang hijab-Nya mempunyai benteng yang kukuh. Engkau ciptakan kepatuhan dan menganugerahkan kemampuan bagi orang-orang yang taat. Engkau beri mereka kekuatan dan istiqomah dalam ketaatan. Engkau ciptakan syurga dan menuntun mereka ke dalam kurnian-Mu. Engkau jadikan semua amal mempunyai keistimewaan, segala Rahmat tercurah dari-Mu, ketaatan dan pahala-Nya bersumber dari-Mu, segala sumber urusan ada di Tangan-Mu. Dari-Mu segala permulaan dan hanya kepada-Mu tempat kembali..
Semoga Kau rahmati dan berkati perjalanan wahdah kami ini, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.”


BKKIMM Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.





Sunday 25 December 2011

Liqa' Ajkt Ikhwah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan Taakhi Angkat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)




23 DISEMBER,JUMAAT, Surau Wisma Seri Melaka.satu pertemuan telah diadakan oleh AJKT Ikhwah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir  Sesi 2011/2012 bersama dengan taakhi angkat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).Pertemuan tersebut telah dihadiri oleh AJKT ikhwah BKASM seramai 14 orang termasok dengan penasihat BKASM.Barisan kepimpinan BKKIMM dan penasihat menyambut bak kehadiran daripada TAAKHI angkat.Tujuan pertemuan ini diadakan untuk mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin diantara kedua-kedua BKAN yang duduk dibawah naungan PMRAM.
                Pertamuan telah dimulakan dengan bacan Ummul Kitab dan sedikit kata-kata aluan daripada pengerusi majlis.Kemudian diteruskan dengan kalam ucapan daripada kedua-kedua Yang Dipertua Badan Kebajikan.Antara agenda yang diBUALKAN dalam pertemuan tersebut ialah taaruf ringkas diantara barisan kepimpinan BKKIMM dan BKASM,kemudian disertakan lagi dengan kalam motivasi dan juga taujihat daripada badan penasihat Badan Kebajikan BKKIMM dan BKASM dengan sedikit tazkirah  dan hal-hal lain.
                Antara kalam semangat  yang dibentangkan oleh pentazkirah ialah usul PMRAM bersatu dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di BKKIMM,pandangan-pandangan bernas untuk mengeratkan lagi ukhuwah diantara BKAN taakhi dan lain-lain.Majlis diakhiri dengan kalam taujihat  dari penasihat Badan Kebajikan dan sedikit hidangan jamuan ringan dari pihak BKKIMM.
                Setinggi penghargaan kami ucapkan kepada AJKT dan Penasihat  Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)  kerana sudi meluangkan masa untuk menziarahi kami disini sekaligus  mengadakan pertemuan yang begitu bermakna dan indah ini yang tidak akan dilupakan.Semoga bukan sahaja disini tempat kita bertemu ,tetapi berterusan dalam bersama-bersama kita saling bantu-membantu mengerakkan Badan Kebajikan yang telah diamanahkan.Akhir kata moga  ukhuwah yang  kita jalinkanini akan  terus utuh sehingga ke akhir hayat.





BKKIMM terus bergerak,
BKKIMM milik semua.

Disediakan oleh:Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM Sesi 2011/2012

Monday 12 December 2011

PROGRAM PENJAGAAN KESIHATAN PADA MUSIM SEJUK
Sesi taklimat yang menarik disampaikan oleh Saudara Nazmi
   10 Disember , Surau Wisma Seri Melaka, Kaherah. Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan ( UKKS )Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ( BKKIMM ) sesi 2011/2012 telah menganjurkan Program Penjagaan Kesihatan Pada Musim Sejuk. Majlis bermula pada jam 7.10 malam dan berakhir pada jam 9.30 malam ini telah dihadiri kira-kira 35orang mahasiswa/wi anak Melaka daripada kalangan pengajian Islam dan perubatan.

Qasidah secara beramai-ramai

Program bermula dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis dan majlis diteruskan dengan penyampaian ceramah  penerangan kesihatan oleh penceramah saudara Nazmi bin Mohammad, beliau merupakan mahasiswa perubatan Ain Syam tahun 5 dan juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penghuni ( JKP ) Asrama Rumah  Melayu Abbasiah (ARMA).

Mahasiswa mendengar dengan tekun dan ceria
   
Sebelum program berlangsung,Unit Kebudayaan,Kesenian dan Sukan ( UKKS ) telah mengadakan majlis bacaan qasidah sempena memuji Nabi Muhammad s.a.w bermula selepas solat Maghrib hingga azan Isyak. Majlis bacaan qasidah ini telah dipimpin oleh Ust. Muhammad Fauzie bin Bashah selaku ketua Unit Biah Solehah di bawah Unit Dakwah BKKIMM.
Mahasiswi turut tidak melepaskan peluang.

Alhamdulillah,sedikit sebanyak dari majlis penerangan kesihatan ini dapat membuka mata mahasiswa/wi tentang kepentingan menjaga kesihatan terutamanya pada musim sejuk yang telah tiba. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan daripada UKKS BKKIMM melalui YDP BKKIMM sesi 2011/2012, Dr Amir Al-Amin Bin Mustaff.

BKKIMM terus bergerak.
BKKIMM milik semua.

Wednesday 7 December 2011

Kalam YDP BKKIMM sesi 2011/2012

Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan yang tiada sekutu bagiNya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. juga kepada ahli kerabat Baginda, para sahabat Baginda, kepada mereka yang menyahut petunjuk yang dibawa Baginda serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari akhirat.

Sahabat seperjuangan sekalian.
Dalam ayat Al-quran dalam surah Ar-Ra’d ( ayat 11 ).Allah ada menyebut:

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri….”

Berusaha membersihkan rohani, memantapkan jiwa dan memperbetulkan akhlak sesama mahasiswa/wi Islam Melaka merupakan antara gagasan yang dibawa oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir ( BKKIMM ) di dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar. Gerak kerja sebegini tidak akan berjaya sekiranya tanpa kerjasama dan kesatuan dari kalangan mahasiswa/wi Islam Melaka sendiri.

Terdapat 6 gagasan yang akan dibawa dan diperhalusi bagi peringkat BKKIMM pada sesi ini.

1.       Adab dan Tarbiah
2.       Ukhuwah dan Wahdah
3.       Amar Makruf dan Nahi Mungkar
4.       Pemantapan Fikrah melalui Thaqafah dan Ilmiah
5.       Kemantapan Ekonomi dan Kebajikan
6.       Melatih dan Melahirkan Pelapis Kepimpinan

Setiap gagasan akan mempunyai kaedah tersendiri dan akan diperincikan untuk dijayakan oleh setiap peringkat samaada dari barisan pimpinan beserta setiap anggota ahli, mahasiswa/wi Islam Melaka di Mesir ini.

Oleh yang demikian, kita sendirilah yang perlu merubah mentality dan sikap masing-masing. Jadikan BKKIMM sebagai platform dalam menjayakan amar makruf nahi mungkar ini. “ Kerana kita sedar kambing yang bergerak berseorangan lebih disukai oleh si serigala berbanding kambing yang bergerak secara berkumpulan “.Inilah antara kepentingan kita perlu bergerak secara berpersatuan.

Dalam satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Saidina UMAR AL-KHATTAB R.A ketika mana berjaya membebaskan bumi Palestin.

“ Kita adalah satu kumpulan yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan bukan dengan kemuliaan yang telah diberikan oleh Allah, maka Allah akan menghina kita”

Begitu juga dengan BKKIMM, sekiranya BKKIMM mencari kemuliaan, kemegahan dan habuan dunia semata dan bukan menjadikan Islam ( Al-quran dan As-Sunnah ) sebagai panduan, maka tidak perlulah kita berkorban mempertahankan kesatuan ini. Tetapi sedarlah bahawa BKKIMM merupakan sebuah gerakan mahasiswa Islam bagi komuniti kecil Melaka di Mesir ini di bawah naungan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ).
Oleh yang demikian, sebagai gerakan dakwah tidak akan pernah gentar dan goyah dalam menghadapi apa jua cabaran dan mehnah yang bakal ditempuhi demi untuk menjulang Islam ke tempat yang tertinggi.

“ Islam itu yang tertinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya ( Islam ) “

BKKIMM pasti terus bergerak dan BKKIMM milik semua adalah menjadi tema serta pembawakan BKKIMM kali ini. Ini bagi menjelaskan kepada semua mahasiswa/wi, inilah bezanya kesatuan kita yang berjuang dan berkorban demi keagungan Islam berbanding pihak lain yang wujud semata untuk kepentingan peribadi bukannya untuk kepentingan UMUM.

“ Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…. “ ( Surah Ali Imran, ayat 110 )

Mari sama-sama kita pastikan yang :
BKKIMM akan terus bergerak dan BKKIMM adalah milik semua!

AMIR AL-AMIN BIN MUSTAFF
Yang Di-Pertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2011/2012
AKTIVITI FUTSAL SEPANJANG SESI NOVEMBER DAN DISEMBER
1 NOV, NADI SHABAB,HAYYU SADIS,KAHERAH - Seramai 32 orang yang hadir termasuk ahli dari muhafazah(Tanta,Dumyat,Damanhur) ,ahli yang berada di rumah sewa serta jemputan bersama perubatan Ain Shams.

19 NOV , NADI SHABAB,HAYYU SADIS,KAHERAH – Seramai 18 orang yang hadir ,gabungan antara ahli BKKIMM dan pelajar Johor termasuk ahli dikalangan muhafazah(Damanhur dan Mansurah) ,ahli di rumah sewa serta Ajkt yang hadir turut memeriahkan aktiviti.

3 DIS , NADI SHABAB,HAYYU SADIS,KAHERAH – Seramai 28 orang yang turut hadir termasuk ahli di kalangan muhafazah(Damanhur,Dumyat dan Syubra) ,ahli yang berda di rumah sewa dan ahli BKKIMM.  

Saturday 3 December 2011

Liqa' Fasilitator : Menjana Kelangsungan Tarbiah di Melaka


30 Nov- Seiring dengan salah satu gagasan BKKIMM sesi ini iaitu pemantapan fikrah melalui thaqafah dan ilmiah, Jabatan Fasilitator BKKIMM telah mengadakan satu liqo’ bersama Jabatan Fasilitator Pusat yang telah diwakili oleh Ust. Muhammad Mujahid bin Fadzil. Kalam taujihat yang telah disampaikan oleh beliau yang menyentuh perihal sanad gerakan Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW sehingga kini sangat memberi kesan kepada para nuqaba’ yang hadir terutama mengenai kepentingan para nuqaba’ dalam meneruskan mata rantai perjuangan Baginda SAW.





Turut memberi pengisian, Ketua Unit Dakwah BKKIMM, Ust. Khairul Fadhli bin Husin yang telah memberi pencerahan mengenai Fiqh Ad-Dakwah. Beberapa penyelarasan tugas juga turut dibentangkan oleh Ketua Jabatan Fasilitator, Ust. Ahmad Muhsin bin Abdul Hamid bagi memastikan kelangsungan Jabatan Fasilitator dalam mengerakkan Muzakarah Berkelompok terus mencapai matlamatnya.