Wednesday 22 May 2013

Imtihan : Antara Ilmu dan Amal


Firman Allah Taala :

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya :"Manusia tidak akan mendapat sesuatu kecuali apa yang diusahakan."

(Surah An-Najm :39)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, Yang Maha Luas Rahmatnya, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW  dan seluruh ahli keluarga serta para sahabat baginda. 

Bahang imtihan kian dirasai. Di saat ini, pasti seluruh mahasiswa/wi di perlembahan Nil sedang bertungkus lumus dan membuat persediaan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan. Masing-masing dengan gelagat-gelagat yang tersendiri. Mungkin ada yang bersendirian, ada yang sibuk belajar berkumpulan atau sibuk menjawab soalan-soalan ramalan dan bermacam-macam lagi. Namun, dalam kesibukan membuat persediaan untuk menghadapi imtihan, usahlah kita lupa dan cakna terhadap hak-hak dan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan. Antara tanggungjawab yang perlu kita laksanakan adalah sebagai hamba Allah, anak, rakan dan sebagainya. Sabda Rasululullah saw  yang bermaksud :

"Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya"

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud : 

"Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya."

(Hadith riwayat Bukhari)

Teman-teman yang dirahmati Allah Ta'ala, marilah kita merenung seketika nasihat Imam Al-Ghazali yang sangat sesuai dengan situasi atau status kita sebagai penuntut ilmu :
     
Wahai anakku tercinta : “ Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum tentu dapat menjamin keselamatan di akhirat kelak.” 

Kalam ini boleh diumpamakan sekiranya seseorang memiliki sepuluh bilah pedang yang tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain lagi ditambah pula dia seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya maka apakah semata-mata dengan memiliki senjata itu tadi sudah cukup untuk menangkis serangan singa tadi? Sudah tentu tidak. Segala senjata itu akan bermanfaat sekiranya digunakan oleh pemilik senjata itu. Begitulah keadaan seseorang penuntut ilmu terutama mahasiswa/wi di perlembahan Nil ini, dalam mempersiapkan diri menghadapi imtihan jangan kita lupakan bahawa ilmu yang dipelajari dan diulang-kaji bukan semata-mata sebagai persediaan untuk menjawab kertas peperiksaan, malah ia perlu diamalkan dan dimanfaatkan untuk Islam.

Dari kalam yang lain, Imam Al-Ghazali menukilkan tentang Ilmu dan amal. “Ilmu itu tidak bermanfaat kecuali bila sudah diamalkan”. Seandainya seseorang menuntut ilmu seratus tahun lamanya dan dia menghimpunkan seribu buah kitab maka dia masih belum layak mendapat rahmat Allah Ta'ala kecuali dengan mengamalkan ilmu itu. Firman Allah :

فَلْيَضْحَكُواْ قَلِيلاً وَلْيَبْكُواْ كَثِيراً جَزَاء بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan..

(Surah At-Taubah :82)

Akhir sekali, imtihan yang dilalui oleh mahasiswa/wi merupakan resam bagi penuntut ilmu. Ia menguji tahap pencapaian pelajaran yang telah ditimba di dewan kuliyah dan mengajar kita untuk menjadi serius dalam menuntut ilmu. Pastikan mahasiswa/wi tidak menjadikan amalan menuntut ilmu dan mengulang kaji pelajaran ini sekadar bermusim, hanya di ambang imtihan sahaja. Berusahalah menjadi penuntut ilmu yang sebenarnya sebagai manfaat buat Islam dan bekalan amalan di akhirat kelak. Selamat mengamalkan ilmu yang dipelajari dan semoga mahasiswa/wi khususnya anak Melaka di perlembahan Nil sentiasa dalam kalangan orang yang menuntut ilmu dan beramal soleh yang diterima  di sisi  Allah Rabbul I’zzati. "Apabila engkau telah berusaha, maka bertawakal lah kepada  Allah”. Wallahu A’lam.


"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

"Memaju Prestasi Membumi Bakti"

"BKKIMM Pilihan Kami"




Suhaila Bt Abd Shukor
Naib Setiausaha Agung
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2012/2013