Tuesday 22 April 2014

BKKIMM Terus Cakna Kebajikan Anak Melaka

KAHERAH, 20 APRIL 2014: Buat julung kalinya,  Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di bawah Unit Kebajikan telah menganjurkan ‘Majlis Penyerahan Sumbangan’ yang bertempat di Surau Wisma Seri Melaka. 

Majlis Penyerahan Sumbangan yang dianjurkan ini bertujuan membantu meringankan bebanan anak-anak Melaka yang mempunyai masalah kewangan.  

Bermula jam 8.00 malam, Surau Wisma Seri Melaka mula dipenuhi oleh anak Melaka bagi memeriahkan majlis. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Badan Pengurus Angkat PMRAM Cawangan Melaka saudara Mohamad Adil b Mohamad Fadzil dan saudara Mohd Faishal b Razlan. Turut bersama di dalam majlis ini ialah saudara Muhammad Salihin b Abdullah selaku Naib Presiden III (Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2014. Tidak ketinggalan dengan kehadiran HEWI Angkat PMRAM Cawangan Melaka saudari Wan Nur Amirah Bte Wan Yusuf dan saudari Norhamiza Bte Majid.

Friday 18 April 2014

BKKIMM Optimis Hubungan Kerjasama Antara Pegawai HEP Melaka

17 April 2014, Khamis : Perjumpaan saudara Ahmad Rabbani b Ismail selaku Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2013/2014 dan saudara Muhammad Zawawie b Zainal Khan Bendahari Agung BKKIMM (Ketua Unit Kebajikan)  sesi 2013/2014 bersama Encik Anwar b Idris Pegawai Kebajikan dan Hal Ehwal Pelajar Negeri Melaka telah disambut dengan baik oleh pihak beliau di Wisma Seri Melaka, Hayyu Sabi'.

Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan hal kebajikan anak Melaka di Mesir. Antara isi perbincangan antara wakil BKKIMM dengan pegawai ialah mengenai pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi sesi 2014 dan permasalahan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan terutamanya pelajar-pelajar Markas Bahasa Arab Al-Azhar bagi sesi 2013.

Di dalam pertemuan ini, Encik Anwar telah memberi respon terhadap persoalan dan perbincangan yang diutarakan oleh wakil BKKIMM iaitu saudara Ahmad Rabbani b Ismail dan saudara Muhammad Zawawie b Zainal Khan. Mengenai persoalan pinjaman dan zakat TAPEM dihentikan pada sesi ini disebabkan permasalahan keadaan Mesir yang tidak stabil, selaku wakil TAPEM, encik Anwar menyatakan tiada laporan mengenai pinjaman TAPEM dihentikan disebabkan keadaan Mesir tidak stabil, akan tetapi bermungkinan ia disebabkan permohonan tersebut telah melebihi had peminjam bagi sesi tersebut. Cadangan diperingkat beliau ialah supaya individu yang ingin memohon pinjaman TAPEM tersebut membuat permohonan sekali lagi bagi sesi ini.