Saturday 28 June 2014

Ribat Ukhuwah Melalui Ziarah Mahabbah

                Kaherah, 28 Jun 2014 - Bersempena Ramadhan  al-Mubarak yang bakal menjelma, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir 2013/2014 (BKKIMM’13/14) telah menganjurkan program sehari bersama ahli. Program yang berlangsung Isnin lalu di bawah kelolaan Unit Dakwah dengan kerjasama Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan  diisi dengan beberapa pengisian menarik bersama anak-anak Melaka. Antaranya ialah ziarah dari rumah ke rumah ahli bagi ikhwah dan HEWI’s Moonlight Dinner bagi akhawat.
Program ziarah dari rumah ke rumah yang berlangsung di peringkat ikhwah dimulai dengan qasidah diikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Tertinggi BKKIMM dan diakhiri dengan pemberian Syantah Ramadan oleh saudara Ahmad Rabbani bin Ismail, Yang Di-Pertua BKKIMM. Sementara itu, di peringkat akhawat pula telah berjalan aktiviti makan malam Hewi’s Moonlight Dinner. Makan malam ini turut  dihadiri oleh wakil pimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang juga merupakan HEWI angkat Melaka iaitu saudari Wan Nur Amirah binti Wan Yusoff dan saudari Nur Hamizah binti Majid. Turut dimeriahkan dengan persembahan, tayangan video dan pemberian Syantah Ramadan kepada setiap wakil rumah oleh saudari Nurul Atikah binti Ahmad, Timbalan Ketua Hewi BKKIMM.
Program sehari bersama ahli tersebut bertujuan merapatkan lagi ukhuwah dan kasih-sayang sesama anak Melaka serta menghidupkan budaya saling menziarahi sesama ahli. Program ini juga bertepatan dengan gagasan yang ingin dicapai oleh BKKIMM, iaitu ‘Ukhwah dan Wahdah’. Semoga dengan penganjuran program ini dapat menyatukan hati anak-anak Melaka demi mengekalkan kesatuan BKKIMM yang telah wujud sejak 1976.

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
"MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN"
"BKKIMM PILIHAN KAMI"

                

Tuesday 24 June 2014

Isu Pengubahsuaian Wisma Seri Melaka : Mendapat Perhatian Duta Malaysia Di Mesir


Kaherah 24 Jun 2014 - Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Malaysia di Kaherah pada 22 Jun lalu. Kehadiran rombongan disambut baik oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Dato' Ku Jaafar bin Ku Shaari. Kunjung hormat tersebut bertujuan mengetengahkan masalah dan isu yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia yang berada di Mesir.

Turut serta dalam kunjung hormat tersebut, Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) saudara Ahmad Rabbani bin Ismail yang mewakili suara anak-anak Melaka di  Mesir.  Beliau telah menyuarakan masalah para pelajar berkaitan isu arahan berpindah keluar daripada Wisma Seri Melaka (WSM) disebabkan proses pengubahsuaian bangunan tersebut.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap masalah yang bakal dihadapi para penghuni WSM  terutamanya daripada sudut kewangan,  keselamatan dan pendidikan sekiranya terpaksa keluar daripada bangunan tersebut.

Dato’ Duta turut memberikan pandangan serta perhatian serius terhadap masalah tersebut. Beliau akan memanjangkan masalah ini kepada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka di Mesir, Encik Muhd Anwar bin Idris yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kebajikan para pelajar. Beliau akan mengambil tindakan terhadap isu yang berlaku serta membantu sedaya upaya bagi menangani masalah tersebut.