Saturday 30 August 2014

ISU PENGUBAHSUAIAN WISMA SERI MELAKA MENDAPAT PERHATIAN ANAK-ANAK MELAKA MESIR

Badan kebajikan keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan satu pertemuan bersama anak-anak Melaka yang menetap di Wisma Seri Melaka (WSM) pada hari Rabu, 27 Ogos 2014 bertempat di Surau WSM. Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan bersama berikutan isu pengubahsuaian dan penambahbaikan bangunan tersebut serta kebajikan anak-anak Melaka.

Pertemuan yang dikendalikan oleh Saudara Ahmad Rabbani Bin Ismail selaku Yang Di-Pertua BKKIMM sesi 2013/2014 berlangsung selama dua jam dengan kehadiran 40 orang mahasiswa/wi pengajian Islam dan sains kesihatan. Laporan gerak kerja terkini Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM berkenaan isu pengubahsuaian dan penambahbaikan WSM telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Haziq Bin Zainal Abidin selaku Setiausaha Agung BKKIMM. Seterusnya persoalan dan cadangan dibuka kepada anak-anak Melaka bagi menambahkan lagi idea dan kebersamaan dalam menangani isu ini.

Friday 29 August 2014

SUKMA '14 : GENERASI SIHAT INSPIRASI UMAT

Kaherah, 29 Ogos 2014 - Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menganjurkan Sukan Kesenian Anak Melaka (SUKMA ‘14). Program yang bertemakan “GENERASI SIHAT INSPIRASI UMAT” ini  berlansung selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 Ogos 2014 ini turut melibatkan PMRAM cawangan Taakhi Zon D iaitu BKAN Selangor dan Pahang. Objektif utama program ini adalah bagi mencungkil bakat anak-anak Melaka sama ada dalam bidang sukan mahu pun kesenian. Di samping itu, program ini juga mampu mengukuhkan ukhuwah dan silaturrahim bukan sahaja di kalangan anak Melaka tetapi juga ukhuwah di antara PMRAM cawangan yang lain.

Tuesday 26 August 2014

KUDRI '14 : DA'IE DINAMIK PEMACU MASA DEPAN UMMAH

Kaherah, 26 Ogos 2014 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di bawah kelolaan Unit Dakwah telah berjaya menganjurkan program tarbiyah yang diberi nama “Kursus Dai’e Kontemporari 2014” (KUDRI '14) dengan bertemakan “Dai’e Dinamik Pemacu Masa Depan Ummah”. Kursus ini berlansung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Ogos 2014 bersamaan 21 dan 22 Syawal 1435 H. Antara objektif kursus ini adalah untuk membentuk keterampilan, akhlak dan sahsiah muslim yang sejati ke arah memperbaiki diri daripada negatif kepada positif, menjadikan diri seorang dai’e yang fleksibel di dalam zaman yang serba boleh berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah serta mengeratkan ukhuwah antara anak-anak Melaka dan BKAN Taakhi dari Selangor dan Pahang.

Monday 25 August 2014

ZIARAH MAHABBAH AJKT BKKIMM KE MANSOURA

Kaherah, 25 Ogos 2014 – Barisan Kepimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2013/2014 telah mengadakan ziarah Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM ke cawangan Mansoura pada hari Sabtu bersamaan 23 ogos 2014. Antara AJKT yang terlibat ialah dua orang  AJKT ikhwah dan tiga orang  AJKT HEWI serta seorang Penasihat BKKIMM akhawat. Perjalanan dari Kaherah ke Mansoura mengambil masa lebih kurang dua jam dan kedatangan kami telah disambut baik oleh anak-anak Melaka di Mansoura.

Pada tahun ini, kedatangan kami berbentuk ziarah berbanding tahun sebelum ini berbentuk jaulah yang melibatkan semua Barisan Kepimpinan AJKT BKKIMM. Tujuannya adalah untuk mengenali dengan lebih rapat dan mesra serta mengeratkan lagi silaturrahim yang sudah terjalin ataupun yang baru sahaja terjalin di antara Kepimpinan BKKIMM dengan anak-anak Melaka di Mansoura.

Wednesday 20 August 2014

MAKLUMAN KEPULANGAN PEGAWAI ATASE PENDIDIKAN MELAKA

Sejak beberapa minggu yang lalu, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menerima banyak pertanyaan daripada anak-anak negeri Melaka di Mesir mengenai status Pejabat Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar Melaka di Wisma Seri Melaka (WSM), Kaherah.

Hal ini kerana para mahasiswa/wi Melaka yang ingin berurusan dengan pihak pegawai telah mendapati bahawa Pejabat Pentadbiran sementara yang ditempatkan di tingkat bawah WSM tidak dibuka sejak sekian lama.

Tuesday 5 August 2014

KEMERIAHAN AIDILFITI DI PERANTAUAN

Kaherah, 5 Ogos 2014 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menganjurkan satu  program sambutan hari raya Aidilfitri dengan jayanya. Sambutan Aidilfitri yang buat pertama kalinya diadakan di Wisma Seri Melaka (WSM) ini telah menyaksikan kehadiran yang memberangsangkan daripada anak-anak Melaka di Mesir serta para tetamu jemputan. Sambutan Aidilfitri kali ini diberi nama SAYONARA’14 singkatan daripada “Say On Hari Raya” yang bertemakan “ Tautan Hati Imbauan Memori ”.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi merapatkan lagi hubungan sesama anak Melaka, dan memberi ruang untuk saling bertanya khabar serta berkenalan. Selain itu, program ini juga bertujuan mengubat rasa rindu anak Melaka terhadap kampung halaman dan keluarga serta mengingatkan mereka bahawa seluruh mahasiswa/wi Melaka yang berada di Mesir juga ibarat keluarga sendiri.

HARAPAN RAMADAN, INSPIRASI KEHIDUPAN

Kaherah, 5 Ogos 2014 - Bersempena bulan Ramadan yang mulia, komuniti Ihya’ Tarbawi Ramadan
(IHTIRAM ‘14) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah melaksanakan beberapa program sepanjang bulan yang mulia ini. IHTIRAM ‘14 telah bermula pada 29 Jun 2014 bersamaan 1 Ramadan 1435 Hijriah dan berakhir pada 27 Ramadan bersamaan 25 Julai 2014. Pembukaan IHTIRAM ‘14 telah dirasmikan oleh Ustaz Muhd Faishal bin Razlan selaku Badan Pengurus angkat PMRAM cawangan Melaka pada 28 Jun 2014. Segala program yang telah  dirancang bertujuan untuk memastikan anak-anak Melaka menghayati Ramadan al-Mubarak dengan penuh penghayatan di samping memanfaatkan peluang di dalam bulan yang mulia ini dengan beribadah yang bukan sahaja mampu menghidupkan jasmani yang lemah bahkan mampu menghidupkan hati yang tandus.

Friday 1 August 2014

SEKALUNG PENGHARGAAN BUAT SELURUH PENYUMBANG


Jumaat, 1 Ogos 2014 : Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)  saudara Ahmad Rabbani bin Ismail mewakili anak-anak Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dana dalam membantu anak-anak Melaka di  Mesir. "Dalam menjalankan gerak kerja Islam, persatuan haruslah mempunyai dana yang cukup bagi memastikan kesinambungan kebajikan kepada anak-anak Melaka  diberikan dengan sebaiknya", ujar beliau.

Pada 16 Jun 2014, saudari Nurulain Binti Mohd Zaid yang merupakan Penasihat BKKIMM telah meyerahkan sumbangan yang terkumpul hampir mencecah RM 2000 kepada saudara Mohd Zawawy Bin Zainal Khan selaku Bendahari Agung (Ketua Unit Kebajikan) BKKIMM. Wang tersebut adalah hasil daripada sumbangan para pelajar keluaran Mesir yang bertungkus-lumus mencari dana demi memastikan kelangsungan BKKIMM di bumi Mesir ini.