Sunday 16 August 2015

MAHA '15 | Hari Tautan Silaturrahim

  MAHA '15 | Hari Tautan Silaturrahim 


           MELAKA - Pada tanggal 8 Ogos 2015 bersamaan 23 Syawal 1436H yang lalu telah diadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidifitri 2015 (MAHA '15) bersama Mahasiswa/wi Melaka Mesir dan Pelancaran Persatuan Ibu Bapa Mahasiswa Melaka Mesir (PIBMMM). Program tersebut bertempat di Dewan Auditorium Masjid Al-Azim dan mendapat sambutan meriah dengan kehadiran hampir 300 orang yang terdiri daripada mahasiswa Melaka Mesir dan keluarga serta bekas pelajar Melaka Mesir. Bertemakan 'Aidilfitri Dirai, Silaturrahim Ditauti', program ini bertujuan menjalinkan hubungan baik di antara pelajar, ibu bapa, kerajaan negeri dan bekas pelajar serta menggambarkan suasana sambutan Aidilfitri berpandukan batasan syarak.







           Setelah selesai sesi pendaftaran pada jam 10.00 pagi, para tetamu kehormat dan hadirin mengambil tempat di ruangan dewan auditorium. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan oeh saudara Nuralif bin Radani. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah MAHA '15, saudara Muhammad Khidir bin Abdul Hamid selaku Setiausaha Agung Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan ucapan pengerusi PIBMMM, En. Ahmad bin Saidin. Setelah itu, majis diserikan dengan ucapan perasmi program, Dato' Wira Hj. Yaakob bin Md Amin selaku Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sekaligus menyempurnakan gimik Pelancaran PIBMMM sebagai simbolik perasmian. Dalam ucapan tersebut, perasmi mengucapkan tahniah dan syabas atas penubuhan PIBMMM dan berharap agar segala gerak kerja di peringkat persatuan akan berjalan dengan lancar. Seterusnya, diikuti dengan penyampaian cenderahati tanda penghargaan kepada perasmi program. Di akhir majlis perasmian, sebuah tayangan video telah ditayangkan bagi tontonan para hadirin yang disediakan oleh komuniti MAHA'15 dan persembahan  qasidah daripada kumpulan Al-Munawwar sekaligus menutup tirai majlis perasmian pada pagi itu.


           Lebih kurang jam 11.00 pagi, para hadirin mula mengambil tempat di ruang makanan bagi menikmati juadah hari raya. Di samping itu, berlangsungnya sesi bual bicara bersama bekas mahasiswa Mesir, saudara Hussaini bin Salleh dan saudari Siti Izziatul Hawa bte Mohd Yusof bertajuk 'Jom Kenali Azhari'. Seterusnya majlis dihangatkan lagi dengan sesi temu ramah bersama  para jemputan. Pelbagai pandangan dan respon positif diterima daripada wakil ibu bapa selaku responden mengenai penubuhan PIBMMM. Suasana majlis turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah. Sebelum majlis melabuhkan tirainya, para pelajar dan ibu bapa serta tetamu kehormat sempat berhimpun untuk sesi bergambar sebagai tanda kenangan sebelum bersurai.


            Akhir sekali, komuniti eksekutif  MAHA '15 yang terdiri daripada wakil mahasiswa Melaka Mesir bersama Ahli Jawatankuasa PIBMMM selaku Pemantau Eksekutif  berharap semoga dengan penganjuran majlis ini dapat mempertaut hubungan baik di antara para pelajar dan ibu bapa seterusnya menjalinkan hubungan baik bersama kerajaan negeri demi memastikan kebajikan pelajar terus terjamin dan terpelihara pada masa akan datang.

"Memartabat Keilmuan, Meribat Kesatuan"
"BERILMU DAN BERAMAL"



Disediakan oleh,
Setiausaha,
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2015 (MAHA '15) & Pelancaran Persatuan Ibubapa Mahasiswa Melaka Mesir.
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)
Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment