Wednesday 30 December 2015

IMTIHAN FASA PEMBENTUKAN ILMUAN ISLAM

             Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian dipanjangkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pembawa risalah kenabian dan rahmat bagi sekalian alam. Selawat dan Salam buat junjungan besar baginda S.A.W serta ahli keluarga, para sahabat baginda, tabi'e tabi'en dan para ulama pewaris perjuangan baginda yang bersambung sanad keilmuannya dari generasi ke generasi sehingga hari kiamat.

Musim peperiksaan kini kembali bertamu. Saban tahun, Bumi Mesir menyaksikan kegembiraan dan kesedihan mahasiswa/wi Azhar setelah menatap keputusan peperiksaan masing-masing. Ada yang melaungkan lafaz hamdalah bahkan tidak kurang juga yang hanya mampu mengalirkan air mata tanpa bicara. Inilah realiti yang perlu ditempuhi mahasiswa/wi Al-Azhar di mana terkadang sukar untuk menjangkakan keberjayaan dan keberhasilan dalam keputusan peperiksaan. Walhasil, teruskan berusaha sedaya mungkin dalam menuntut ilmu walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana inilah amanah yang harus dipikul oleh setiap penuntut ilmu di Perlembahan Nil ini yang perlu dilaksanakan supaya ianya dapat menzahirkan identiti sebenar seorang mahasiswa Islam itu sendiri.

Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

Sebagai hamba Allah S.W.T yang menyandang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini, kita tidak terlepas daripada menerima anugerah ujian dan cabaran dalam hidup ini. Hal ini, bagi menguji sejauh mana tingkat kehambaan dan nilai kebergantungan kita kepada yang Maha Esa.  Begitu juga dalam konteks hamba tersebut sebagai seorang penuntut ilmu maka peperiksaan merupakan salah satu bentuk penilaian dan tanda aras bagi menguji tahap kefahaman individu tersebut dalam subjek-subjek yang dipelajari sama ada mampu meneruskan ke marhalah seterusnya atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, persediaan yang mantap dan rapi perlu disusun oleh semua individu bergelar mahasiswa/wi. Jika dilihat, begitu banyak program-program pendidikan yang telah disusun  di peringkat Unit Pendidikan BKKIMM sama ada berskala kecil mahupun besar. Antaranya ialah Senat Fakulti,  Mentor Mentee, Study Group, Kelas Tutorial dan sebagainya. Semua program ini hendaklah disertai dan dijayakan dengan penuh ketekunan dan optimis oleh semua anak Melaka supaya ianya memberikan impak yang positif dalam pembelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak.

Mahasiswa/wi yang dikasihi sekalian,

Di samping fokus terhadap kejayaan akademik, jangan pula dipinggirkan aspek-aspek lain seperti hubungan sesama manusia dan komitmen terhadap persatuan. Hal ini kerana seorang mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja dinilai baik  daripada sudut akademiknya bahkan hubungannya sesama manusia juga turut dititikberatkan. Selain itu, keikhlasan juga perlu sentiasa subur dalam jiwa Mahasiswa/wi bahawa segala usaha dan tenaga yang digembleng bukanlah sekadar untuk mengejar sehelai sijil bagi tujuan duniawi semata, bahkan menjadikan keredhaan Allah S.W.T sebagai matlamat tertinggi dalam setiap urusan terutamanya dalam menuntut ilmu.

Seiring penekanan BKKIMM pada sesi kali ini iaitu aspek pendidikan, maka diharapkan kepada semua anak Melaka khususnya agar dapat mempertingkatkan usaha dan fokus kepada peperiksaan yang akan datang. Amalkan study smart di saat akhir imtihan berbanding study hard bagi mengelakkan tekanan emosi dan perasaan yang sepatutnya dielakkan pada saat-saat akhir ini. Lazimkan diri dengan menghadiri program study group bawah kelolaan mentor masing-masing di samping mengulangkaji secara bersendirian. Perlu diingatkan juga bahawa pembahagian masa yang baik dan berkesan juga amat penting supaya kita dapat mengoptimumkan segala usaha pada kadar yang terbaik di samping  kewajipan dan tanggungjawab lain tidak terabai.

Akhir sekali, pihak Unit Pendidikan BKKIMM mengucapkan selamat menghadapi imtihan fasa satu yang akan menjelang tidak lama lagi kepada semua anak Melaka khususnya. Semoga kita  dapat memberikan sepenuh perhatian dan fokus terhadap pembelajaran dan membuktikan kepada masyarakat bahawa Mahasiswa/wi Mesir mampu menjadi qudwah hasanah dari aspek pendidikan dan syakhsiah serta menyumbang manfaat kepada masyarakat apabila pulang kelak nanti.

“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”

‘BKKIMM Tetap di Hati’

Disediakan oleh :
Muhammad Amirul Fitri Bin Mazlan
Timbalan Setiausaha Agung
(Ketua Unit Pendidikan),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
(BKKIMM) sesi 2015/2016



Tuesday 29 December 2015

MENELUSURI IBRAH MAQAM BAHNASAH

Sabtu 12 Disember 2015 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di bawah pengurusan Unit Perhubungan, Sambutan dan Rehlah (UPSR) telah mengadakan sebuah program pertama bagi sesi 2015/2016 iaitu Jaulah Maqam ke Bahnasah. Program ini telah dijalankan dengan tujuan agar dapat mengisi masa lapang yang terluang dan memberikan ahli BKKIMM peluang bagi lebih mengenali para sahabat dan para aulia’ Allah serta mengambil ibrah daripada sirah kehidupan malah ia juga sebagai pemangkin semangat dalam menghadapi fasa imtihan yang akan datang.

Sunday 27 December 2015

KUNJUNG HORMAT BKKIMM KE PEJABAT PENTADBIRAN WISMA SERI MELAKA

Pimpinan BKKIMM bergambar bersama
 Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka
KAHERAH, 21 Disember 2015-
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka (PPWSM) pada 21 Disember yang lalu. Kunjung hormat itu disambut baik oleh Encik Haji Muhd Anwar bin Idris selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka di Mesir. Kunjungan yang melibatkan seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa HEWI serta wakil penasihat BKKIMM sesi 2015/2016 ini telah diketuai oleh saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi ini.

Friday 25 December 2015

JEBAT DI PERLEMBAHAN NIL

Tit tit.. Tit tit.. Bunyi panggilan masuk mesej di telefon usangku kedengaran. 

Tanganku segera meraba ke dalam beg sandang yang aku bawa untuk mencari telefon yang sangat berbakti padaku sebelum aku menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini lagi.  Sambil melangkah ke dalam dewan kuliah yang  sudah dipenuhi oleh sebahagian besar mahasiswi tahun tiga jurusan Syariah Islamiah itu, aku sempat membaca paparan di skrin telefon.

“Salam. Jemputan menghadiri perjumpaan khusus mengenai rombongan delegasi kerajaan negeri Melaka, pada hari Khamis selepas Isyak.”


“Assalamu’alaikum ya banat!”, suara Dokturah Wafa’ tegas kedengaran.  Serentak dengan menjawab salam semua rakan sekelasku kembali ke posisi masing-masing dengan tertib. Aku segera menyimpan telefon bimbit dan menumpukan perhatian subjek Fiqh Al-Muqaran.

Wednesday 9 December 2015

Wakil Batch : Bukti Komitmen Ahli Bersama BKKIMMM

Wakil Batch : Bukti Komitmen Ahli Bersama BKKIMMM


Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka (BKKIMM) sentiasa konsisten mencari solusi terbaik bagi setiap permasalahan yang dihadapi anak Melaka di Mesir khususnya berkaitan dengan kemasukan semula anak-anak Melaka ke Wisma Seri Melaka.

           
  Atas kecaknaan ahli-ahli BKKIMM, beberapa permasalahan dan aduan telah dibangkitkan berkaitan borang kemasukan ke Wisma Seri Melaka yang telah diedarkan oleh pihak pegawai semasa perjumpaan dengan anak Melaka yang bertempat di Rumah Melaka Sementara pada 6 Oktober 2015 yang lalu.

Thursday 3 December 2015

Pemakluman : Tarikh Family Break Amali BKKIMM sesi 2015/2016


   Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) pada sesi kali ini membawa penekanan Pemantapan Fikrah Melalui Thaqafah dan Ilmiah .Justeru, BKKIMM amat menitikberatkan pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah dalam kalangan ahli.Mengoptimiskan daya usaha penerapan tarbiah dalam kalangan ahli adalah sangat penting bagi melahirkan pelapis yang mempunyai kekuatan rohani serta syakhsiah yang bakal membentuk ciri-ciri muslim yang sejati.